Tuesday, January 20, 2009

Drama "Human Trafficking"



Assalamualaikum…lama tak menulis, rindu pulak rasa. Gambar di atas bukan filem terbaru dipasaran cuma sebuah cerita kategori drama hasil kerjasama dari Kanada dan USA.

Lihat dari tajuknya “Human Trafficking” mungkin tiada yang menarik mengenai drama selama 176 minit (jika tanpa iklan) tersebut sehinggalah kita mengikut plot ceritanya sampai habis.

Semalam saya amat keletihan setelah mengharungi jalan yang semakin sesak. Selesai solat Maghrib, saya tertidur di sofa dan bangun pada jam 1.30 pagi. Saya bangun cuci muka dan solat Isyak. Selepas itu, mata pun sukar nak lelap, jadi untuk melelapkannya, saya tengok lah tv siaran 701-Hallmark.

Drama arahan Christian Duguay yang diterbitkan pada tahun 2005 ini berkisarkan aktiviti Perdagangan Manusia iaitu para gadis serta kanak-kanak. Episod bermula dengan Samantha Gray (Emma Campbell) dan anaknya Annie Gray berusia 12 tahun
(Sarah-Jeanne Labrosse) melancong di Manila, Phillipines sambil membeli belah. Ketika ibunya ingin mencuba pakaian di sebuah kedai, Annie tertarik melihat cenderamata yang dibawa oleh seorang budak di seberang jalan, lalu tidak semena-mena, lelaki yang menggunakan sebuah ‘jeep’ menariknya dengan cepat sekali. Ibunya hanya mampu menjerit meminta pertolongan, malangnya hilang begitu sahaja dari pandangan.

Berikutnya, sekumpulan gadis baru sampai ke Bandar New York bersama agen mereka menaiki sebuah van. Nadia Tagarov (Laurene Leboeuf) dari Ukraine berusia 16 tahun yang lari rumahnya, amat gembira kerana impiannya menjadi seorang model tercapai. Malangnya impiannya musnah setelah salah seorang gadis yang juga seorang ibu tunggal Helena Votrubova (Issabelle Blais) dari Prague, Czech Republic membisik bahawa mereka sebenarnya didagangkan.

Ketua sindiket Sergei Karpovich (Robert Carlyle) adalah seorang yang amat kejam. Pelacur-pelacur di sepak terajang, dirogol, dikencing setiap hari, lebih-lebih lagi jika tiada pelanggan. Bayangkan keuntungan mereka mencecah hamper US$1.5 juta sebulan. Pendapatan ini belum lagi masuk dengan Perdagangan Seks Kanak-Kanak. Saya agak seriau bila dikatakan perniagaan dagangan manusia ini akan menjadi perdagangan utama masa depan. Pihak NGO yang membanteras penculikan kanak-kanak ini hanya berjaya menemui 11 orang dan hanya 1 kes disabit kesalahannya.

Di dalam drama panjang ini, kita akan disajikan betapa seksanya kanak-kanak dipukul jika ingkar arahan. Mereka melayan lelaki yang layak dipanggil nenek. Di sebuah perkampungan di Filipina, seorang ayah sanggup menjual anak gadisnya yang berusia kurang 12 tahun untuk menampung kehidupan. Saya terkesan melihat riak wajah seorang ibu, bila anaknya menangis minta dilepaskan.

Saya amat berharap, Negara kita bebas dari sindiket ini. Walaupun tidak banyak kes yang kita dengar tapi lebih baik kita mencegah dahulu dari mengubatinya kemudian. Saya rekomenkan untuk anda melihat drama ini supaya kita faham apa yang dilalui oleh mangsa-mangsa kekejaman ini untuk kita lebih sensitif dengan dengan isu ini.

Diharap juga Industri Pelancongan kita bebas dari perkara-perkara yang negatif.

No comments: