Sunday, October 19, 2008


Majlis akad nikah pada 4 Syawal 1429H
dari kiri, Dolah (pengapit pengantin), Izam (pengantin), saya (penulis), As dan Din di perkampungan isteri Din di Dalat. Manakala gambar diambil oleh Wan adik ipar Din.

Majlis Pertunangan serta Perkahwinan Izam & Linz

Tanggal 4 Syawal 1429 bersamaan 4hb Oktober 2008 adalah detik sejarah rakan saya, saudara Izam b Mahli bersama isteri tercinta Norazelin bt Zaidi telah sah menjadi suami isteri di rumah pengantin perempuan beralamat di Zon 4, Jalan Sungai Naga, Kampung Jemoreng, Matu, Mukah.

5 Syawal 1429 pula adalah hari persandingan mereka yang disaksikan oleh ahli keluarga kedua belah mempelai dan juga sahabat handai.

Selama mengenali Izam dan juga isteri tercinta, mereka memang diibarat kan bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan, duduk sama tinggi, berdiri tinggi sedikit ha3..gurau saja.

Harapan saya, jagalah kebahagiaan rumah tangga bersama anak-anak yang bakal dilahirkan. Susah senang hadapi bersama, perbincangan suami isteri hendaklah diamalkan, sentiasa berdoa pada Allah SWT untuk memurahkan rezeki serta memberi perlindungan dari segala kejahatan dan dugaan yang maha hebat sepanjang perjalanan hidup suami isteri. Pesanan ku pada Izam, jangan sia-siakan perjuangan cinta selama 2-3 tahun ini..."kaulah segalanya" hendaklah sampai akhir hayat. Segala pengorbanan jangan disia-siakan, sentiasa ungkapkan kata cinta dan sayang walaupun sudah berderet anak-anak.

Pesanan untuk Lin pula, jagalah 'perut' suami mu. Saya percaya, anda pasti dapat menjaga suami mu sebaik yang mungkin. Sabar menjadi seorang isteri, moga Allah sentiasa memberkati kesabaran mu. Tiada hadiah dari kaca mata kamu berdua, cuma keikhlasan doa selamat sejahtera untuk kamu berdua yang dapat aku dambakan.

Selamat menjalani kehidupan berumah tangga.

Di sini saya sertakan beberapa gambar untuk tatapan.


Niat Datang ke Matu!


Sudah lama durian dicatu,
Barulah kini pokoknya berbuah,
Sudah lama niat ke Matu,
baru sekarang diizinkan Allah.

Dari Serian singgah ke Sebangkoi,
Singgah berehat mengisi perut,
Dari jauh kami berkonvoi,
kerana jodoh kami dijemput.

Bukan tiket sebarang tiket,
Tiket menjadi suami perawan,
Bukan songket sebarang songket,
Hajat meraikan nikah perkahwinan.

Orang Dalat di tepi sungai,
banyak dapat ikan sebakul
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.

Majlis Pertunangan serta Pernikahan Izam & Lin

Niat Datang ke Matu


Udah
langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
baru sekarang diizinkan Allah.

Dari Pauh singgah Permatang,
Singgah merapat papan kemudi.
Dari jauh saya datang,
kerana tuan yang baik hati.

Bukan tekat sebarang tekat,
Tekat menjadi hiasan kain.
BUkan hajat sebarang hajat,
Hajat merasmikan nikah kahwin.

Orang membelat di tepi pantai,
banyak dapat ikan tembakul.
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.

Wednesday, September 10, 2008

Harbour View Buffet Ramadhan!

Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera.

Mungkin belum terlewat saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dimana semua umat Islam wajib berpuasa kepada rakau taulan dan pembaca-pembaca.

Pada 10 September 2008 (semalam) saya dijemput oleh Mr. Ronald Lim (Sales Executive) dari Hotel Harbour View untuk menikmati juadah berbuka puasa mereka.

Saya tiba dengan dua rakan saya, iaitu Izam dan Amy serta anak saudara saya Faiq sambil disambut oleh Mr Ronald Lim di Coffee House. Lega rasanya bila melihat masih ramai kakitangan lama yang setia berkhidmat di hotel tersebut, seperti penyelia F&B Ms Corina, Nicholas dan beberapa lagi yang saya kurang ingat namanya (maaf), teruskan dengan khidmat ceria anda.

Memang tidak dinafikan dengan harga RM39.00 nett, anda boleh menikmati pelbagai hidangan masakan tempatan. Pada petang tersebut antara lauk pauk yang saya nikmati adalah seperti Ayam masak cili merah, Kambing masak sos tiram (rasa-rasanya lah), Udang masak merah bersama petai (saya alergi udang hu3), Sayur kailan, Ayam panggang madu, mee jawa, manakala pencuci mulut pula, pelbagai perisa aiskrim, lai chi kang serta buah-buahan. Tidak ketinggalan sup kambing dan bubur lambuk disediakan. Memang tak menang tangan dibuatnya...perut apatah lagi.

Terima kasih sekali lagi kepada pihak Hotel Harbour View terutamanya Mr. Ronald Lim, lain kali jemput lagi ha ha ha.

Untuk tempahan boleh hubungi pihak hotel di talian 082-274 666 atau 016-8938865 (Mr Ronald). Cabutan bertuah untuk anda menangi pelbagai hadiah yang menarik menanti anda.


Sekian, terima kasih.

nota: Maaf, saya terlupa ambil gambar disebabkan anak saudara saya kurang sihat dan kelam kabut untuk menghantar dia balik.

Sunday, August 10, 2008

Cuti-Cuti Malaysia!






Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Jumaat 8 Ogos 2008 yang lepas adalah tarikh kemasukan saya bagi menyambung pelajaran peringkat sarjana Hospitaliti di Open University Malaysia (OUM). Peluang ini memang saya nanti-nantikan sejak dari dulu lagi. Perasaan untuk mendapat pengiktirafan dalam dunia akademik sememangnya jangan dilepaskan oleh sesiapa pun jika kita mampu.

Pada hari yang sama saya yang dihantar sahabat saya Izam b. Mahli bergegas ke Kuching International Airport (KIA) untuk check-in penerbangan jam 7.15 malam menuju ke Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan kos rendah Air Asia Everyone Can Fly!. Tujuan ke sana adalah untuk menemani keluarga abang saya (mereka pergi sehari lebih awal) dan anak-anak kecil berusia dari setahun hingga lapan tahun untuk cuti-cuti Malaysia. Afzan b Nasri (8 tahun), Aiqal b Nasri (5 tahun) dan Aliff Ghazi b Nasri (1 tahun) serta ayah dan ibunya. Walaupun ini bukan kali pertama mereka pergi ke Kuala Lumpur (kecuali Aliff Ghazi), percambahan pesat kota metropolitan ini memang sukar dijangka.

Sampai ke LCCT jam 8.45 malam dan terus mengambil teksi ke Mutiara Damansara (rumah abang di Palm Spring, Damansara) dengan kosnya RM73.00. Sepanjang perjalanan itu, berborak panjang dengan pemandu teksi, Pak Cik Omar dan pelbagai tempat-tempat yang menarik dicadangnya untuk sesi pelancongan saya ini. Bila Pak Cik Omar mencadangkan pergi ke Taman Tema Genting Highlands, saya terus set kan untuk pergi ke situ sebagai destinasi pertama pelancongan saya keesokkannya. Sampai di rumah yang dikelilingi oleh pusat-pusat membeli belah yang popular seperti One Utama, IKEA, Tesco, The Curve dan tidak dilupa lintas hormat di Sri Pentas. Sampai di rumah saya rehat sebentar dan mandi untuk bersedia pergi ke Uptown (tidak sampai 10 minit dari rumah) yang baru dipindahkan 2 tahun lepas (jika tidak silap) untuk membeli dan melihat barang-barang 'bundle' dan 'shop rejected'. Harga berpatutan cuma kena pandai memilih. Barang-barang baru tidak semestinya elok, dan barang-barang lama tidak semestinya buruk, lihat sahaja barangan Nike, trend sekarang lebih suka menggunakan Nike klasik dan anda boleh melihat keaslian jenama ini (sekadar cadangan).

Jam 3.00 pagi tidak terasa dengan kesegaran dan riuh-rendah masyarakat kota seperti baru bangun dari tidur siang hari, disebabkan agak letih terasa mengantuk, saya dan abang terus balik.

Jam 9.00 pagi, kami sudah siap sedia untuk meneruskan destinasi pertama kami, iaitu Genting Highlands dalam 45 minit perjalanan. Dengan kenderaan yang ditinggalkan oleh abang saya (beliau travelling di London pada masa tersebut), kami menaiki Atos terus menuju ke Genting Sempah untuk sarapan pagi. Agak ramai dengan bas-bas pelancong, bas-bas sekolah, dan tidak ketinggalan pengunjung-pengunjung tempatan yang mempunyai agenda tersendiri. Tidak lama kemudian, kami terus menaiki Genting Highlands untuk menuju ke Gohtong Jaya di mana kawasan tersebut adalah Stesyen Kereta Kabel. 8KM sebelum stesyen tersebut, saya berhentikan kereta kerana suhu panas kereta naik hampir ke "H". Ini disebabkan saya menggunakan penghawa dingin, dan kipas kereta ini juga mempunyai masalah air yang tidak berpusing. Anda jangan risau, kawasan ini memang ada mekanik persendirian yang akan membantu. Tidak sampai 1 minit pun seorang pemuda bernama Saiful berhenti membantu sambil bakul motorsikalnya penuh dengan botol-botol air. Disebabkan masalah kereta kami tidak berapa teruk berbanding ada beberapa buah kereta lagi berasap enjinnya, Saiful hanya menasihatkan kami menyejukkan tangki air dan menukarnya dengan air yang baru (saya pun kurang pengetahuan hal-hal tersebut). Dalam 10 minit berhenti dengan suhu cuaca di tempat tersebut dalam 20 darjah celcius kami pun teruskan perjalanan ke Stesyen Kereta Kabel..eh terlupa pulak caj perkhidmatan hanya RM5 sahaja untuk Saiful hi..hi..hi.

Sampai di Stesyen Kereta Kabel, orang ramai sudah berpusu-pusu untuk membeli tiket, pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya dari Arab memang ramai kelihatan. Tiket untuk Dewasa RM16 pergi balik, budak-budak tiada caj tambahan..seronok kan? Dari stesyen tersebut hingga ke Genting Highlands (destinasi tepat ialah Hotel Genting Highlands) mengambil masa dalam 20-25 minit anda akan berasa sungguh genting bila pertama kali naik kereta kabel. Abang saya dah berpeluh-peluh dah sungguhpun jam 11.00 pagi suhunya dalam 18-19 celcius. Cuaca mendung tapi masih ada nampak cahaya matahari mengintai. Sampai sahaja, kalau pertama kali elok anda bertanya dan meminta map Genting Highlands dengan petugas, sebab Hotel Genting Highlands ini luas dan besar dan anda harus mencari jalan keluar hotel tersebut jika tidak anda akan keluar masuk melintasi kasino dan Food & Beverage Outlets yang sentiasa penuh dengan pelanggan.

Sampai di pintu keluar, kami terus mengambil 'train' dengan caj RM5 untuk dewasa sahaja, kanak-kanak 'percuma' lagi, memang tempat ni kota kanak-kanak kan? Kami menuju ke Taman Tema, dengan kelajuan 'train' 20KM sejam untuk menuju ke sana yang berhampiran dengan First World Resort mengambil masa 15 minit perjalanan yang sejukkkk...17 darjah celcius tu..nasib baik dah siap gunakan baju tebal (pengalaman sewaktu bertugas di Cameron Highlands, Colmar, Janda Baik dan Bukit Fraser banyak membantu).

Di taman tema kena berbaris panjang untuk mendapat tiket masuk, tertera RM27 untuk dewasa dan RM23 untuk kanak-kanak, tapi itu untuk harga bukan dalam cuti umum, jika tidak anda caj masuk akan naik RM10..kira sendiri ha...tapi cukup berbaloi jika anda 'enjoy yourself' di dalam sana. Setelah makan tenghari di Mary Brown, jam 2.00 petang kami bertolak balik menuju ke Gohtong Jaya dengan menaiki teksi maksudnya tiket yang sudah dibayar untuk balik menaiki kereta kabel hangus sebab ingin nak cepat ke bawah. Cajnya RM40.00..mahal tak?

Sampai di tempat letak kereta kami terus memecut balik (tapi tidak memecut laju, gunakan gear rendah) destinasi berikutnya pusat membeli belah Sogo dan Pertama Kompleks. menghabis masa di situ dalam 3 jam, kami terus ke pusat membeli belah yang baru iaitu Pavillion. Kalau ingin pakaian berjenama luar negara di sinilah tempat paling sesuai. Sungguh indah di dalamnya. Terasa penat sangat dengan keadaan sesak kereta, orang ramai kami terus balik ke Damansara disebabkan anak-anak kecil tidak seperti kita yang dewasa yang boleh tahan sampai pagi esok pun. Sampai di rumah jam 9.00 malam dan terus lelap seketika. Tersedar jam 11.00 malam, apabila kawan telefon mengajak ke pasar terbuka di Danau Kota. Selepas mandi dan solat Isyak terus menuju ke Danau Kota, jalan di waktu malam sungguh tenang. Danau Kota dan Uptown baru tidak jauh bezanya, cuma Danau Kota yang berlokasi di Setapak, Kuala Lumpur ini padat penduduk. Jadi keadaanya sungguh meriah. Barangan agak sama seperti di Uptown. Selepas membeli-belah dan makan malam terus balik ke rumah.

Jam 9.00 pagi abang dan keluarganya sudah siap mandi untuk menuju ke Tesco, saya terasa letih sangat, jadi tak ikut sama, cukuplah sarapan dengan roti Gardenia yang siap dua kotak dibungkus untuk di bawa ke Kuching hi.hi.hi. Tepat pukul 12.00 tengahari, kami menuju ke Mid Valley, keadaan lalu lintas pada masa tersebut (saya menggunakan jalan Kelana Jaya) agak baik jadi hanya mengambil masa 30 minit untuk sampai. Sampai sahaja ke Mid Valley saya membawa anak-anak saudara saya ke Toys World, tempat anak-anak bermain sambil ibu bapa boleh membeli belah dengan syarat mesti ada penjaga dengan anak-anak kita. Caj seorang kanak-kanak RM23 sahaja dan tambahan untuk seorang dewasa hanya RM3.00 sahaja, yalah tak kan orang dewasa nak lebih-lebih memanjat istana kanak-kanak tersebut walaupun hati memang teringin. Sedar tidak sedar jam menunjukkan pukul 3 petang, ha!!! saya terlambat, sebab penebangan saya pukul 5 tepat petang. Saya tinggalkan kereta dengan abang saya (mereka balik ke Kuching sehari kemudian) dan saya terus mencari teksi..orang ramai berbaris panjang dapatkan teksi. Setengah jam kemudian saya naik teksi dan menyuruh pemandu tersebut bergerak laju..pemandunya bernama Uncle Phang, 53 tahun pemandu sepenuh masa. Caj RM75 termasuk tol. Disebabkan lambat, saya malas hendak tawar menawar walaupun pada asalnya harganya RM80.00. Beliau menggunakan Seremban Highway yang kelajuan ditetapkan 80KM/j...sungguh tertekan..Seremban Highway adalah lebuhraya yang baru dan cantik pemandangannya. Mengikut jalan ke Dengkil dan seterusnya Sejalak Tinggi (tak silap) kita akan terus ke LCCT.

Sampai di LCCT saya terus berlari dan kaunter check in sudah ditutup. Mujur masih ada kakitangan di sana, dan saya merayu untuk masuk dan sekali lagi mujur tiada check-in luggage dan juga tiada waiting list, jika tidak tempat saya sudah diambil memandangkan tempat duduk penuh masa tersebut. Masuk ke 'boarding' dan terus naik pesawat dengan nafas lega dan bersyukur pada Allah S.W.T disebabkan segala-galanya berjalan lancar dan selamat sampai di Kuching, Sarawak.

Dengan tulisan ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda jika ingin membuat percutian singkat di Kuala Lumpur. Jika tersalah kata dan tulisan saya memohon maaf, tulisan ini sekadar diari pengembaraan saya. Tidak lupa terima kasih kepada Cabin Crew Air Asia, yang menjalankan tugas dengan cemerlang. Tidak lupa juga sahabat saya Asraff Abdullah, Khafiz Othman dan Rafel Hafiz yang banyak membantu mengingatkan saya kembali jalan-jalan yang harus saya gunakan sepanjang berada di Kuala Lumpur (maaf kerana kerap menelefon untuk memastikan tempat yang hendak dituju), Pak Cik Omar (017-7689773) dan Uncle Phang pemandu teksi yang berhemah, Saiful yang membantu di Genting Highlands dan semua yang terlibat..termasuk sahabat saya Izam a.k.a O'shea yang sudi menghantar ke lapangan terbang..Terima kasih!

Akhir kata, jika anda mempunyai keinginan hendak melancong, rancang perjalanan dengan cermat dan bijak. Jangan dikejar banyak tempat, tetapi pergilah ke tempat yang mudah anda pergi tetapi berbaloi.

p/s 1: Saya akan postkan gambar-gambar lain kemudian, disebabkan pada masa saya menulis ini, kamera masih di tangan abang saya, gambar yang ada adalah melalui kamera telefon bimbit..harap maaf.

p/s 2: Maklumat serta harga tempat-tempat tersebut dinyatakan pada waktu saya semasa, jika ada perubahan masa lain adalah di luar jangkaan saya..harap maklum.